arena

Maradona sedia 'basuh' La Albiceleste

Oleh AFP

BRONNITSY: Diego Maradona sedia mengadakan sesi pertemuan dengan skuad Argentina dalam usaha membangkitkan semula semangat pemain menjelang pertembungan terakhir peringkat kumpulan menentang Nigeria.

Juara dunia dua kali itu wajib menewaskan Nigeria di Saint Petersburg, Selasa ini untuk mengelak tersingkir awal selepas tewas 3-0 kepada Croatia.

Dia turut akan membawa bersama bekas pemain negara itu untuk sesi motivasi bersama pemain.

“Saya mahu berjumpa mereka dan menyuntik inspirasi bersama (Nery) Pumpido, (Sergio) Goycochea, (Claudio) Caniggia, (Pedro) Troglio malah bersama (Daniel) Passarella jika dia mahu datang dan juga (Jorge) Valdano,” kata Maradona kepada stesen televisyen Venezuela, Telesur.

“Kami akan mempertahankan maruah. Kekalahan di tangan Croatia dan bolos tiga gol sangat menyakitkan.”

Maradona yang mengkritik jurulatih Jorge Sampaoli dan penyerang, Sergio Aguero sejak kebelakangan ini turut menyalahkan Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Claudio Tapia dalam kecaman terbarunya.

“Saya terkejut dan berang kerana sesiapa yang memakai jersi Argentina sudah pasti tak rela dibelasah Croatia. Pasukan itu bukan Jerman, Brazil, Belanda atau Sepanyol,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 1:15am
d