arena

Gol Kroos ubah Jerman 360°

Oleh Agensi

MOSCOW: Mats Hummels melontarkan kepercayaan betapa jaringan minit akhir Toni Kroos mampu menjadi pencetus buat Jerman untuk terus melakar kemenangan di Piala Dunia.

Pertahanan Bayern Munich itu memuji jaringan menarik itu yang disifatkan sebagai titik perubahan selepas juara bertahan itu berdepan kesukaran pada aksi di Sochi, semalam.

Memasuki minit akhir masa tambahan separuh masa kedua, skuad bimbingan Joachim Loew itu berdepan kemungkinan untuk disingkirkan daripada kejohanan berprestij itu.

Keputusan 1-1 pada perlawanan itu akan menyaksikan Mexico dan Sweden boleh beraksi hanya untuk meraih keputusan seri pada aksi terakhir peringkat kumpulan sekali gus menyingkirkan juara empat kali itu.

Namun jaringan Kroos itu menyaksikan mereka akan layak ke pusingan seterusnya sekiranya berjaya menewaskan Korea Selatan yang sudahpun tersingkir.

Hummels optimis kebangkitan yang ditunjukkan pasukannya ke atas Sweden itu mampu memberikan momentum yang signifikan kepada mereka pada kempen kali ini.

“Ia bukanlah aksi yang sempurna namun secara emosinya, gol kemenangan lewat permainan itu begitu baik untuk kami. Ia memberi petanda betapa kami boleh meningkat untuk menjadi lebih baik,”kata Hummels.

“Ia sungguh bagus. Adakah ini detik yang perlu kami ingati? Detik apabila berlakunya perubahan dan membantu kami memenangi Piala Dunia?

“Sudah tentu perkara sebegini memberi impak yang besar. Namun kami tidak harus terbuai dengan situasi ini. Jika kami melakukan kesilapan ketika bertemu Korea Selatan, ia (kemenangan ke atas Sweden) tidak membawa makna apa-apa.

“Kini kami perlu buktikan bahawa kami menjadi pasukan yang lebih baik. Kami perlu lakukannya untuk memenangi kejohanan ini.” i

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 11:15am
d