arena

Lichtsteiner pun kena sekali...

Oleh Agensi

KALININGRAD, Russia: Pertahanan Switzerland, Stephan Lichtsteiner bakal menyertai rakan sepasukan, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri mengharungi proses disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan tindakan kontroversi mereka ketika meraikan jaringan menentang Serbia.

Xhaka dan Shaqiri, yang menjaringkan gol Switzerland dalam kemenangan 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E, Sabtu lalu didakwa selepas meraikan jaringan dengan mencantumkan kedua-dua tapak tangan bagi membentuk helang berkepala dua sama seperti bendera Albania.

Simbol nasionalis ini dikatakan berisiko mencetuskan ketegangan Balkan dalam kalangan rakyat Serbia yang tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo dan etnik Albania.

Semalam, FIFA mengumumkan Lichtsteiner juga didakwa kerana turut serta meraikan jaringan berkenaan.

Pemain tengah Stoke City, Shaqiri dilahirkan di Kosovo dan kedua ibu bapa Xhaka pula berasal dari Albania.

Bapa Xhaka adalah tahanan politik ketika demonstrasi pelajar pada 1968 di Yugoslavia menentang kerajaan komunis di Belgrade. Abang Xhaka, Taulant beraksi bersama pasukan kebangsaan Albania.

Selain itu, Serbia juga dikatakan bakal berdepan hukuman dari badan sukan antarabangsa itu, berikutan komen yang dilakukan Presiden Persatuan Bolasepak Serbia, Slaviska Kokeza dan jurulatih, Mladen Krstajic selepas perlawanan berkenaan.

Kokeza memberitahu BBC Sport Serbia mereka adalah mangsa di atas rompakan ganas dan mendakwa FIFA melantik pegawai perlawanan yang memihak kepada Switzerland.

“Jawatankuasa Disiplin FIFA membuka kertas siasatan disiplin terhadap pemain Switzerland, Stephan Lichtsteiner berkenaan meraikan jaringan yang kontroversi ketika perlawanan antara Switzerland dan Serbia,” kata FIFA melalui satu kenyataan.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 12:37pm
d