arena

Pahang sedia sekat Selangor

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang tidak rela berputih mata di laman sendiri apabila melayan kunjungan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Dengan keputusan seri 1-1 dengan PKNP FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA kelmarin sedangkan Selangor menang besar 4-0 ke atas PKNS FC, Tok Gajah perlu lebih bersedia.

Justeru, pengendali pasukan, Dollah Salleh mengharapkan anak buahnya itu dapat mempamerkan aksi terbaik mereka untuk meraih keputusan membanggakan dalam saingan liga musim ini.

“Saya percaya pemain akan kembali membentuk persefahaman lebih mantap untuk memastikan kemenangan buat pasukan memandang Pahang kini menduduki tangga ketiga.

“Namun, kita tidak boleh memandang mudah kerana Selangor kini semakin bertenaga dan pemain perlu memberikan komitmen padu untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu skuad itu tampil dengan permainan mengkagumkan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Pahang.

Katanya, kemenangan itu juga sebagai suntikan semangat kerana skuad itu akan bertandang ke Stadium Perak pada separuh akhir kedua Piala FA bertemu PKNP, Ahad ini.

“Saya harap mereka dapat bermain dengan semangat juang tinggi dengan percaturan terbaik daripada jurulatih untuk menafikan lawan daripada beroleh kemenangan,” katanya.

Pada pusingan pertama liga, Pahang menewaskan Selangor 3-1 tetapi peningkatan prestasi yang di persembahkan Red Giants dalam beberapa perlawanan wajar diberi perhatian.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 1:32pm
d