arena

El Hadary masih berbisa

Oleh AFP

VOLGOGRAD: Essam El Hadary, pemain tertua dalam kancah Piala Dunia tampil cukup bergaya menyelamatkan sepakan penalti buat Mesir namun tidak berupaya untuk mengelak daripada kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi awal pagi tadi.

Penjaga gol berusia 45 tahun itu melayangkan badan ke sebelah kanan pintu gol untuk menepis bola sepakan penalti Fahad Al-Muwallad pada minit ke-39 di Volgograd Arena.

Namun Arab Saudi berjaya menghasilkan gol pada masa kecederaan setiap babak dengan jaringan Salem Al-Dawsari membolehkan mereka menikmati kemenangan pertama di Piala Dunia sejak mara ke pusingan kedua pada 1994.

Penyerang utama Mohamed Salah gagal membantu Mesir merekod kemenangan pertama pada final Piala Dunia dalam tiga penampilan meskipun bintang Liverpool itu membuka tirai jaringan menerusi gol menarik.

El Hadary berusia 45 tahun 161 hari apabila turun beraksi dalam pertembungan dua pasukan yang sudah tersingkir awal dalam kempen Kumpulan A.

Dia meleburkan rekod penjaga gol Colombia, Faryd Mondragon yang berusia 43 tahun tiga hari ketika bermain menentang Brazil pada 2014.

Seperti dijangka, Salah disenaraikan dalam kesebelasan utama dan berjaya mencuri tumpuan 36,823 penonton menerusi jaringan pada minit ke-22. 

Pemain berusia 26 tahun itu mengawal bola hantaran jauh sebelum melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Yasser Al-Mosailem.

Salah sekurang-kurangnya boleh berbangga kerana ia gol pertama Mesir (bukan penalti) di Piala Dunia sejak 27 Mei 1934 apabila Abdulrahman Fawzi mencetak nama selaku penjaring ketika tewas 2-4 di tangan Hungary.

El Hadary membuat penampilan pertama untuk Mesir pada 1996, setahun sebelum rakan sepasukannya Ramadan Sobhi dilahirkan. Dia lebih tua daripada tiga jurulatih di Russia 2018 iaitu Roberto Martinez dari Belgium, Mladen Krstajic (Serbia) dan Aliou Cisse (Senegal).

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 3:05am
d