arena

Tiada belas buat Messi

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG: Nigeria mahu mengambil kesempatan daripada kemungkinan penampilan terakhir Lionel Messi di Piala Dunia bersama Argentina meskipun menghormati pemain terbaik dunia lima kali itu, kata jurulatih Super Eagles, Gernot Rohr.

Kemenangan pasukan Afrika di Saint Petersburg hari ini bakal menunjuk jalan keluar kepada Argentina yang sehingga kini masih belum memenangi perlawanan di Russia.

“Kami menyayangi pemain hebat ini, Messi, semua menyayanginya,” kata Rohr. “Persoalannya bukan terarah sama ada ini adalah penampilan terakhirnya ataupun tidak, persoalannya adalah kami, untuk layak (ke pusingan seterusnya).

“Kami tidak berada di sini untuk melihat dia bermain. Kami di sini untuk meraih keputusan, kami adalah profesional.

“Kami di sini untuk mempertahankan warna (bendera) Nigeria dan kami tahu dalam bola sepak tiada belas kasihan, tiada perasaan kasihan, semua pihak mahu menang dan kami tidak boleh memberikannya biarpun kami amat menyukai pemain ini.”

Messi setakat ini gagal meledak jaringan di Russia, terlepas sepakan penalti ketika diikat 1-1 oleh Iceland sebelum Croatia menewaskan juara dunia dua kali itu, 3-0.

Pertahanan Nigeria, Brian Idowu mengakui dia mahukan jersi Messi sebagai kenangan tetapi menegaskan kemahuannya untuk melihat Argentina pulang lebih awal.

“Sasaran utama kami adalah untuk menjadikan perlawanan ini yang terakhir buat Messi, meskipun sebagai pemain bola sepak, kami amat teruja melihat permainannya,” kata Idowu.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 4:13am
d