arena

'Kalau lah Zlatan ada...'

Oleh AFP

YEKATERINBURG, Russia: Zlatan Ibrahimovic bersara daripada arena bola sepak antarabangsa dua tahun lalu tetapi nama bekas bintang Sweden itu masih terbayang dalam fikiran peminatnya pada Piala Dunia kali ini.

Ia menimbulkan tanda tanya kepada peminat Sweden berkenaan apa yang mungkin terjadi jika Ibrahimovic berada dalam skuad ketika berdepan Jerman, semalam yang berakhir dengan kekalahan menyakitkan pada minit akhir.

Malah, mereka juga terus membayangkan apa impak ketiadaan Ibrahimovic apabila Sweden berdepan Mexico pada perlawanan terakhir kumpulan di Yekaterinburg, Rabu ini.

Kini dia sudah mencecah usia 36 tahun dan berada di penghujung kerjayanya bersama LA Galaxy dengan penyerang bertubuh sasa itu mengumpul 62 gol dalam 116 perlawanan bersama Sweden.

Sebelum ini, ada spekulasi menjangka Ibrahimovic mungkin membuat pusingan U dramatik dari persaraan dan beraksi pada Piala Dunia, namun ia tidak terjadi.

Jurulatih Sweden, Janne Andersson juga pernah menjelaskan - “Zlatan sangat dialu-alukan untuk menghubungi saya” - namun Ibrahimovic akhirnya berada di Russia hanya atas tujuan komersial.

Peminat Sweden mula bergerak ke Yekaterinburg, hari ini dengan perasaan ‘rindu’ terhadap aksi Ibrahimovic.

“Semua orang merindui Zlatan, tetapi dia tidak cergas lagi untuk berada dalam pasukan kami yang baru ini,” kata Maria Bronk.

Berbeza pula bagi Ditte Helwig, yang memakai topi kuning, baju kuning dan seluar biru dengan bertutur dalam bahasa Sweden yang menyatakan sebaliknya. 

“Saya fikir dia masih cergas. Dia tidak terlalu tua, tapi saya fikir dia cuma tidak mahu berada di sini.”

Helwig dan Bronk adalah antara penyokong tegar Ibrahimovic yang akan ke Amerika Syarikat untuk menyaksikan aksi penyerang veteran itu pada September ini.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 6:43am
d