arena

'Patut Ronaldo kena kad merah!'

Oleh AFP

SARANKS: Pengendali Iran, Carlos Queiroz berkata, Cristiano Ronaldo bernasib baik kerana terlepas daripada kad merah biarpun rakaman VAR menunjukkan kapten Portugal itu menyiku lawan ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Piala Dunia, awal pagi tadi.

Portugal akan bertemu Uruguay pada aksi 16 terakhir selepas mara sebagai naib juara Kumpulan B namun Queiroz menegaskan, Ronaldo sepatutnya diarahkan keluar padang selepas menyiku muka pertahanan Iran, Morteza Pouraliganji.

“Saya tidak mahu bercakap banyak, ia lebih mengenai negara dan pemain saya. Ini adalah peperangan menentang musuh pasukan kendalian saya,” kata Queiroz yang pernah membimbing negara asalnya, Portugal pada Piala Dunia 2010.

“Realitinya, anda menghentikan perlawanan kerana VAR, terdapat insiden menyiku yang bermakna kad merah untuk kesalahan berkenaan.

“Dalam peraturan itu tidak mengatakan (Lionel) Messi atau Ronaldo terkecuali.”

Ia adalah hari yang sibuk buat penolong pengadil di Saransk ketika dua penalti dihadiahkan hasil rakaman VAR, termasuk insiden membabitkan Ronaldo.

“Kami menerima kesilapan manusia sebelum ini, ia sebahagian daripada perlawanan. Pemain, jurulatih dan pengadil tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan,” kata Queiroz.

“Tetapi kini anda mempunyai satu sistem. Ia adalah teknologi yang hebat dengan lima hingga enam orang mengawal selianya daripada dalam dan apa yang berlaku? Tiada siapapun yang akan bertanggungjawab atas insiden ini.

“Kita perlu menjadi seperti sukan ragbi dan hoki. Apabila terdapat keputusan VAR saya perlu tahu apa yang diberitahu oleh pengadil, orang ramai perlu tahu apa yang berlaku.”

Ricardo Quaresma membuka tirai jaringan dengan percubaan sepakan lencong menarik pada minit ke-45.

Ronaldo mendapat peluang untuk menjarakkan kedudukan selepas dihadiahkan penalti pada minit ke-51, tetapi penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand cemerlang menyelamatkan sepakan bintang Real Madrid itu.

Karim Ansarifard menyamakan kedudukan buat Iran pada masa kecederaan menerusi penalti yang diberikan selepas pengadil melihat semula rakaman video.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 8:32am
d