arena

Reus tak rela dimalu negara K-pop

Oleh AFP

KAZAN, Russia: Marco Reus tidak akan membiarkan Korea Selatan menjadi penghalang Jerman untuk mara ke pusingan kalah mati malam esok selepas juara bertahan Piala Dunia itu berjaya menghidupkan harapan mereka.

Reus hanya pemain gantian sewaktu tewas 0-1 kepada Mexico namun sebaik berada di kesebelasan utama menentang Sweden, dia berjaya menjaringkan gol penyamaan sekali gus meletakkan Jerman kembali ke dalam saingan.

Berdepan minit-minit terakhir di Sochi, Jerman meraih kemenangan penting 2-1 hasil sepakan lencong Toni Kroos yang turut dibantu Reus menerusi gerakan set-piece.

Ini bermakna Jerman berjaya menolak kemungkinan menjadi juara bertahan keenam tersingkir daripada Piala Dunia namun kedudukan mereka masih belum selamat.

Empat tahun selepas Sepanyol menjadi juara bertahan kelima tersingkir susulan aksi hambar di peringkat kumpulan, kedudukan skuad Joachim Loew sebagai pasukan pilihan sebelum kejohanan mungkin tersekat seawal pusingan pertama buat kali pertama sejak 1938.

Ternyata laluan Jerman ke pusingan kedua begitu berliku.

Biarpun Korea Selatan berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata susulan kekalahan kepada Mexico (1-2) dan Sweden (0-1), kesemua empat pasukan masih berpeluang layak.

“Tentu sekali kami bermain dengan teruk berdepan Mexico dan perlu berdepan kritikan tetapi pada pandangan saya, kita sudah terlalu lama bercakap mengenai perkara ini,” kata Reus.

“Kami perlu menjalankan tugas dan menang perlawanan ini, mungkin bukan sekadar 1-0 tetapi lebih daripada itu.”

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 10:44am
d