arena

'Benteng Sepanyol belum kuat'

Oleh Reuters

KALININGRAD, Russia: Kapten Sepanyol, Sergio Ramos menegaskan pasukan itu perlu memperbaiki kelemahan dengan segera selepas melakukan beberapa kesilapan ketika seri 2-2 dengan Maghribi jika mahu kekal meneruskan cabaran pada pusingan kalah mati Piala Dunia.

Juara dunia 2010 itu dilihat masih dihantui isu pemecatan jurulatih, Julen Lopetegui sebelum saingan kali ini bermula dengan mereka dua kali ketinggalan di tangan Maghribi dan Ramos antara punca kedua-dua gol dijaringkan.

Mereka hanya mampu melakar keputusan seri yang menyaksikan La Roja menjuarai Kumpulan B dan perlu berterima kasih di atas gol pada lewat perlawanan dijaringkan Iago Aspas yang pada awalnya tidak dikira kerana ofside tetapi kemudiannya diterima hasil video bantuan pengadil (VAR).

Gol lewat itu menyaksikan Sepanyol berjaya mengelak daripada bertemu Uruguay sebaliknya akan menentang Russia dalam aksi pusingan 16 terbaik.

"Kami berjaya mara dan menjuarai kumpulan, itu adalah matlamat utama tetapi corak permainan kami tidak begitu baik. Ia adalah malam yang mana semua pemain perlu melihat kembali kesilapan masing-masing, kami perlu perbaikinya dengan segera.

"Tiada keperluan untuk berasa panik tetapi kami perlu menilai semula prestasi keseluruhan pasukan dan individu. Kami boleh melakukan lebih lagi terutama bagi membentuk pasukan seimbang di bahagian pertahan dan serangan," kata Ramos.

Sepanyol diletakkan sebagai pilihan utama kempen kali selepas beraksi cemerlang pada pusingan kelayakan selain menewaskan Itali dan Argentina dalam aksi persahabatan.

Bagaimanapun, mereka masih gagal menepati ramalan sebagai pasukan pilihan berdasarkan aksi hambar dalam saingan peringkat kumpulan.

Ramos, berkata bahagian pertahanan adalah posisi yang perlu diperbaiki kelemahannya dengan segera menjelang aksi bertemu Russia.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 7:41pm
d