arena

Colombia ada cara sekat Senegal

Oleh Reuters

KAZAN: Pemain sayap Colombia, Juan Cuadrado menyifatkan aksi terakhir Kumpulan H menentang Senegal esok, sebagai pertembungan getir apatah lagi dengan kepantasan dan kemahiran teknikal yang dimiliki skuad dari Afrika itu.

Colombia kini menghuni kedudukan ketiga kumpulan dan memerlukan kemenangan di Samara untuk menempah tiket ke pusingan 16 terakhir.

Sementara pasukan di kedudukan kedua, Senegal pula akan mara hanya dengan meraih keputusan seri.

“Kami perlu berhati-hati kerana mereka adalah sebuah pasukan yang hebat. Bukan saja kuat berlari tetapi juga bagus secara teknikal,” katanya.

Cuadrado bagaimanapun belum mendapat bayangan kesebelasan utama yang bakal digunakan pengendalinya Jose Pekerman untuk aksi berdepan Senegal.

“Untuk (beberapa) hari terakhir ini kami bekerja untuk mencari apa perancangan terbaik yang boleh digunakan bagi mendapat keputusan yang sempurna,” kata Cuadrado yang menjaringkan gol ketika pasukannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Poland, Ahad lalu.

Colombia bagaimanapun mendapat perkhabaran gembira apabila penjaga golnya David Ospina dikatakan tidak menampakkan tanda kesakitan pada kaki kanan selepas mengalami kecederaan bagi aksi dengan Poland.

Perancang tengah, Abel Aguilar turut menjalani proses pemulihan tetapi memerlukan pemeriksaan lanjut pada bahagian paha kirinya, kecederaan yang memaksanya diusung keluar pada minit ke-30 perlawanan Ahad lalu.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 10:46am
d