arena

Kedah kebal buat PKNS

Oleh Izzali Ismail

KEDAH berjaya mencapai sasaran untuk tidak bolos ketika menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman, semalam.

Skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu menang 2-0 dan kegigihan pemain dianggap kunci kepada kejayaan berkenaan.

“Tahniah kepada pemain dan yang pasti kami berjaya mencapai misi yang ditetapkan iaitu menang tanpa dibolosi. Kami berjaya mengambil kesempatan daripada keletihan lawan yang bermain dalam Piala FA tempoh hari.

“Kita boleh lihat peningkatan yang ditunjukkan pasukan melalui beberapa perlawanan lalu dan kedudukan pasukan dalam carta pun sudah meningkat.

“Di hujung perlawanan kami biasanya agak bergelut dan saya terpaksa mengakui hakikat itu tetapi kami memiliki tempoh yang panjang selepas ini dan saya akan terus berusaha meningkatkan stamina dan kecergasan pemain supaya dapat kekal konsisten sepanjang perlawanan,” kata Nidzam.

Beliau juga menjelaskan, Kedah perlu meningkatkan kekuatan apatah lagi peluang untuk menduduki tangga kedua Liga Super masih terbuka.

“Rugi sekiranya kita tidak tingkatkan kekuatan untuk baki lima perlawanan terakhir ini kerana saya percaya peluang untuk berada pada kedudukan kedua masih ada.

“Jadi sudah pasti kita kena perbaiki kelemahan dalam semua aspek. Untuk perlawanan malam ini, saya berpuas hati dengan persembahan pemain termasuk import Paulo Rangel dan Alvaro Silva yang bekerja keras.

“Mereka memberi sumbangan besar buat pasukan namun mereka masih boleh memberikan yang lebih baik lagi. Semua pasukan pasti mahu menamatkan saingan kedudukan lebih baik, begitu juga kami,” katanya.

Sementara itu, Nidzam turut mengharapkan tiga pemain yang mengalami kecederaan, Sandro Da Silva , Halim Saari dan Asri Mardzuki sempat pulih sebelum bertemu Melaka selepas ini.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 11:38am
d