arena

Nazliazmi anggap seri adil

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Selangor, Nazliazmi Nasir berpendapat keputusan 1-1 yang diraih pasukannya di Stadium Darul Makmur malam tadi adalah adil.

Beliau juga tidak menjangkakan skuad Tok Gajah akan memperoleh gol menerusi penalti dan bukannya jaringan padang.

“Namun, saya berterima kasih kepada pemain kerana mereka bangkit pada separuh masa kedua untuk menjaringkan gol dan memastikan Selangor pulang dengan satu mata.

“Bagi saya, keputusan seri ini adalah adil buat kedua-dua pasukan kerana kami tidak mendapat rehat yang cukup selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu.

“Kami hanya rehat sehari dan bertandang ke Kuantan sekali gus menyaksikan pemain tidak dapat beraksi pada prestasi terbaik,” katanya.

Mengulas jaringan Pahang pada separuh masa pertama, beliau berkata, persefahaman yang agak longgar di bahagian tengah dan pertahanan menyebabkan tuan rumah memperoleh gol pendahuluan.

Namun, katanya, prestasi lebih baik dipersembahkan anak buahnya pada babak kedua hingga membolehkan mereka menjaringkan gol penyamaan.

“Pemain bangkit pada babak kedua dan hasilnya kami berjaya menyamakan kedudukan. Ia keputusan yang baik buat Selangor dalam saingan Liga Super.

“Pada masa sama, ia juga boleh dijadikan persediaan menghadapi PKNS pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 12:16pm
d