arena

Fellaini 'racun semangat' England

Oleh Agensi

KALININGRAD: Marouane Fellaini meminta England supaya bertenang dan tidak terbawa-bawa dengan dakwaan yang mengatakan mereka mampu menjulang Piala Dunia.

Skuad The Three Lions muncul sebagai pilihan untuk melakar pakej kejutan di Russia susulan kemenangan besar 6-1 ke atas Panama di mana kapten, Harry Kane mencetak hatrik untuk mengungguli senarai penjaring.

Namun, menjelang pertembungan Kumpulan G berdepan Belgium, Fellaini berkata, skuad kendalian Gareth Southgate itu perlu sedar bahawa mereka belum pernah menewaskan pencabar yang benar-benar berkualiti.

Ditanya mengenai laporan luar biasa mengenai kejayaan England meratah Panama, pemain tengah Manchester United itu berkata: “Belgium juga mampu berbuat demikian!

“Lebih baik kami bertenang, bermain menentang England, pamerkan apa yang mampu dilakukan dan meneruskan langkah seterusnya. Saya tidak beraksi buat England, tetapi saya percaya Belgium juga kuat.

“Saya fikir kedua-dua pasukan, jika anda beraksi bertemu Panama dan Tunisia, saya tidak katakan ia mudah, tetapi anda tidak mempunyai alasan untuk tewas kepada mereka.

“Jadi, untuk saya ia adalah biasa untuk menang (ke atas pencabar berkenaan). Kami sudah mara, sekarang hanya mahu menentukan siapa lebih baik. Ia akan menjadi perlawanan yang seimbang.

“Kami tahu Harry Kane mampu menjaringkan gol, tetapi kami turut mempunyai Romelu Lukaku dan Michy Batshuyi yang boleh berbuat demikian.”

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 1:03pm
d