arena

Cisse tuntut Senegal lebih tajam

Oleh AFP

SAMARA: Senegal perlu mengurangkan kesilapan pertahanan dan mencari jalan untuk Sadio Mane menemui prestasi seperti di Liverpool sekiranya berhasrat menjinakkan Colombia esok dan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.

Pengendalinya, Aliou Cisse tampil mengkritik pasukan yang memiliki kepantasan itu selepas terikat 2-2 dengan Jepun, Ahad lalu dengan mengatakan pencabar mereka itu lebih kuat selain menuntut persembahan terbaik daripada Mane.

“Secara jujurnya, kami tidak begitu bagus,” rumus Cisse, bekas kapten Senegal yang mara ke suku akhir 2002, penampilan terakhir mereka di Piala Dunia.

Cisse kurang senang dengan cara barisan pemainnya melepaskan dua gol ketika bertemu Jepun di Yekaterinburg.

Menuju ke perlawanan terakhir Kumpulan H, Jepun dan Senegal berkongsi empat mata, Colombia (tiga mata) dan Poland yang sudah tersingkir dan masih belum memungut mata.

Ia bermakna keputusan seri sudah memadai buat Senegal dengan Belgium serta England menunggu dua pasukan terbaik Kumpulan H.

Senegal bagaimanapun tampil dengan aksi kurang meyakinkan ketika berdepan Jepun dan meskipun Mane membuka tirai jaringan tetapi ia boleh dianggap sebagai bernasib baik.

“Pemain seperti Sadio Mane adalah pemain yang diletakkan harapan tinggi dan muncul antara pemain yang diberi tumpuan,” kata Cisse.

“Dia boleh melakukan yang lebih baik. Tetapi jika dibandingkan aksinya menentang Jepun adalah lebih baik daripada perlawanan sulung dengan Poland.”

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 1:17pm
d