arena

Biar Cheng Hoe tentukan - Zaquan

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abd Radzak menyerahkan kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menentukan kedudukannya dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Fiji pada 5 Julai ini.

Zaquan yang masih dalam proses pemulihan akibat retak tulang tangan kiri berkata, dia sedia menerima apa saja keputusan pengendali Harimau Malaya itu dan bersedia mengambil risiko jika diturunkan.

“Saya baru membuat pemeriksaan untuk mengetahui tahap pemulihan kecederaan itu dua hari lalu. Doktor memberi ‘lampu hijau’ jika saya mahu bermain, namun tetap mengingatkan saya mengenai risiko yang mungkin berlaku.

“Tulang yang retak itu masih dalam proses pencantuman dan doktor bimbang jika saya terjatuh atau terkena bola di bahagian itu, kecederaan saya akan berulang.

“Situasi ini membuatkan saya serba salah. Kalau ikutan hati saya tidak mahu terlepas bermain untuk skuad kebangsaan walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan.

“Saya ada berbincang dengan jurulatih (Cheng Hoe) mengenai perkara ini dan beliau meminta saya melaporkan diri terlebih dahulu pada Ahad ini sebelum membuat keputusan,” jelas Zaquan.

Zaquan cedera ketika membantu Kuala Lumpur mengalahkan Melaka United 4-2, pada 9 Jun lalu dan diketepikan dalam perlawanan menentang Kedah, minggu lalu dan PKNP FC, malam ini.

Zaquan yang kali terakhir menyarung jersi negara pada Piala AFF 2016 sebelum kembali ke pangkuan skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia menentang Lubnan pada Mac lalu adalah antara 11 pemain yang dikekalkan Cheng Hoe berdepan Fiji.

Selain beraksi konsisten bersama Kuala Lumpur, Zaquan turut membalas kepercayaan Cheng Hoe dengan menjaringkan empat gol ketika Harimau Malaya membaham Bhutan 7-0 dalam aksi persahabatan pada 1 April lalu.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 6:13pm
d