arena

Kedudukan Loew tetap selamat

Oleh AFP

KAZAN: Jawatan Joachim Loew sebagai jurulatih Jerman tetap selamat walaupun jika penyandang juara itu tersingkir awal di Piala Dunia, kata Presiden Persatuan Bolasepak Jerman (DFB), Reinhard Grindel menjelang aksi penting bertemu Korea Selatan, malam ini.

Jerman perlu menang dengan kelebihan dua gol bagi memastikan tempat ke peringkat 16 terbaik.

Mereka tewas 0-1 pada perlawanan pembukaan kepada Mexico dan memerlukan sepakan percuma lewat permainan menerusi Toni Kroos untuk menewaskan Sweden 2-1.

Kegagalan Jerman untuk layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia pasti ‘mencacatkan’ reputasi Loew selepas 12 tahun mengemudi pasukan itu, tetapi difahamkan jawatannya tetap selamat selepas beliau menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2022, bulan lalu.

Grindel menjangkakan akan ada perubahan dalam skuad Jerman selepas kejohanan di Russia, tetapi menegaskan Loew, 58, akan kekal mendidik generasi baharu pasukan berkenaan.

“Kami sudah memutuskan dalam jawatankuasa eksekutif DFB sebelum Piala Dunia untuk menawarkan kontrak lanjutan,” kata Grindel kepada akhbar berpangkalan di Frankfurt, FAZ.

“Kami percaya akan ada perubahan yang akan berlaku selepas Piala Dunia, bergantung kepada keputusan kejohanan, dan tiada sesiapa pun lebih layak untuk menanganinya berbanding Loew,”

Jerman memenangi Piala Konfederasi di Russia tahun lalu, sekali pun tidak menyenaraikan deretan bintang Piala Dunia di Brazil sekali gus meningkatkan reputasi Loew.

“Dia membuktikannya pada tahun lalu di Piala Konfederasi yang dia boleh menjadikan pemain muda sebagai pasukan menakjubkan dan bermain bola sepak yang hebat,” kata Grindel.

“Ia masih boleh dipakai, setakat yang kami tahu.”

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 7:28pm
d