arena

Peluang Selangor cerah

Oleh Siraj Mohd Zaini

KEPUTUSAN sama ada pasukan bola sepak Selangor akan beraksi semula di stadium keramat mereka - Stadium Shah Alam hanya akan diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari optimis beliau mampu menzahirkan impian penyokong skuad The Red Giants sejak dua tahun lalu kerana masih menunggu beberapa perkembangan terkini membabitkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Setakat ini, beliau sudah mengadakan tiga perjumpaan bersama Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bagi membincangkan hala tuju pasukan berkenaan.

“Saya rasa menjelang Julai (akan) diumumkan sesuatu mengenai FAS, kerajaan negeri dan bola sepak kerana menunggu beberapa perkembangan.

“Saya amat optimis pada awal Julai ini (pengumuman bermain di Stadium hah Alam), jika tiada perkara yang sangat besar berlaku,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.

Amirudin juga tidak menolak kemungkinan Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang utama pasukan bola sepak Selangor dan PKNS FC.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran bagi kedua-dua pasukan itu berkongsi stadium bergantung kepada keadaan serta kualiti gelanggang berkenaan.

“Tiada masalah, sebab sebelum ini Selangor dan PKNS FC bermain di lokasi sama.

“Cuma saya sedang memastikan agar padang itu dapat digunakan dengan pasukan tertentu. Kalau banyak sangat pasukan dalam satu tempat, mungkin akan memberikan kesan kepada keadaan dan kualiti padang,” katanya.

Pada musim ini, Selangor menggunakan Stadium Kuala Lumpur di Cheras sebagai tuan rumah mereka selepas tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam sejak 2016.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 7:53pm
d