arena

'Kami harap anda kekal...'

Oleh Reuters

ROSTOV-ON-DON, Russia: Pemain tengah Iceland, Gylfi Sigurdsson berharap jurulatih, Heimir Hallgrimsson kekal mengemudi skuad kebangsaan selepas penyingkiran di Piala Dunia 2018.

Bintang kelab Everton berkata, sekali pun Iceland gagal mara ke peringkat seterusnya, Hallgrimsson pasti akan menjadi rebutan selepas kempen di Russia berakhir.

Muncul negara dengan penduduk paling sedikit beraksi di Piala Dunia, Iceland dianggap menamatkan kempen dengan nota yang tinggi sekali pun tewas 1-2 pada aksi terakhir kepada juara Kumpulan D, Croatia.

Iceland mula dipandang tinggi selepas menamatkan kempen Euro 2016 di peringkat suku akhir tetapi mereka ketika itu menggunakan dua jurulatih, Lars Larbeck dan Hallgrimsson dengan Larbeck meninggalkan pasukan selepas saingan berakhir.

Halgrimsson turut memberi bayangan ingin mencari cabaran baharu selepas Piala Dunia dan merancang untuk menemui badan induk bola sepak negara itu bagi membincangkan mengenai hala tujunya, minggu depan.

Begitupun, Sigurdsson berkata dia berharap bosnya itu akan kekal.

“Lima tahun terakhir sejak kedatangan Larbeck dan Heimir cukup menakjubkan. Jadi sudah pasti pemain-pemain cukup gembira jika mereka kekal,” kata Sigurdsson.

“Dia sudah menjalankan kerja yang baik dan apa yang dia bersama Lars lakukan adalah mempermudahkan perkara. Suasana di dalam kumpulan amat tenang dan ia membuatkan kami dapat beraksi di tahap terbaik.

“Dia cukup sedar dengan taktikal pihak lawan, dia amat tersusun. Perkara yang paling utama dia lakukan ialah mengekalkan kecergasan dan membuatkan kami tersusun sebelum permainan. 

“Saya sejujur-jujurnya tidak mengetahui apa yang akan berlaku, tetapi saya faham jika ada yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya kerana apa yang sudah dilakukannya cukup baik.”

Sigurdsson yang berpindah ke England dari Iceland ketika remaja bagi meningkatkan kariernya begitupun tidak kisah jika Halgrimsson yang juga seorang doktor gigi mencari cabaran baharu di luar negara.

“Kamu perlu mengambil peluang jika mereka memberi tawaran kepada kamu, terutama jika kamu adalah pengurus kerana ia boleh berubah dengan amat pantas,” katanya.

“Sebagai pengurus, ia juga seperti pemain di mana kamu ingin menguji diri kamu dan menguruskan kelab atau negara di peringkat yang tertinggi. Jika kamu tidak bersedia untuk mengambil risiko itu, kamu tidak seharusnya menyertai bola sepak.”

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 10:59pm
d