arena

Woods 'korbankan' putter keramatnya

Oleh AFP

POTOMAC, AS: Tiger Woods yang kembali menunjukkan peningkatan, menguji putter baru menjelang kejohanan PGA Quicken Loans National dalam usahanya menamatkan kemarau lima tahun tanpa sebarang kejuaraan.

Pemenang 14 gelaran utama itu akan beraksi dalam pertandingan ke-11 tahun ini dan menjadikan saingan di TPC Potamac yang bermula hari ini sebagai medan persiapan terakhir untuk ke Terbuka British.

“Saya amat gembira dengan cara saya memukul bola. Saya berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan selama sedekad,” kata Woods.

“Tiada siapa berupaya melakukan hayunan ‘clubhead’ sebegitu pantas seperti yang saya lakukan sepanjang tahun ini.

“Awalnya saya pun tidak yakin untuk melakukannya tetapi semuanya kembali menjadi buat saya.”

Walaupun terus buntu, bintang veteran berusia 42 tahun itu kembali menemui sedikit taring apabila berkongsi tempat kedua Kejuaraan Valspar dan Jemputan Arnold Palmer (kelima), Mac lalu.

“Jika saya dapat mengekalkan pukulan putt seperti awal tahun ini bersama kekuatan hayunan saya, itulah yang akan terus saya lakukan,” kata Woods.

Bagaimanapun, beberapa pukulan mengecewakan kebelakangan ini memaksa Woods menggunakan putter keluaran Ardmore Mallet berbanding model Scotty Cameron yang digunakannya untuk meraih 13 gelaran utama sebelum ini.

“Apa yang berubah? Saya tidak tahu. Ia adalah bahagian yang mengecewakan,” kata Woods. “Saya perlu melakukan putt selama beberapa jam untuk mencari jawapan. Sudah empat kejohanan saya mengalami masalah di green.” - AFP

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 12:23pm
d