arena

Dendam Korea Selatan terbalas

Oleh Reuters

SEOUL: Korea Selatan sudah menunggu selama 16 tahun untuk membalas dendam ke atas Jerman di Piala Dunia dan kemenangan 2-0 ketika mengalahkan juara bertahan itu dan walaupun ia tidak berlaku di separuh akhir, kemanisan atas kejayaan itu tetap dirasakan.

Jerman pernah menafikan peluang Korea Selatan untuk ke final edisi 2002 apabila menang 1-0 di Seoul ketika tuan rumah bersama itu mengetepikan Poland, Portugal, Itali dan Sepanyol untuk ke kelompok empat terakhir. Ketika itu, Korea Selatan dibimbing Guus Hiddink.

Tidak ramai yang percaya Korea Selatan mampu menundukkan Jerman awal pagi tadi dan ada syarikat pertaruhan yang meletakkan angka 100-1 untuk mereka menang 2-0 tetapi seperti yang dikatakan jurulatih, Shin Tae-yong sebelum ini: “Bola itu bulat, apa saja boleh berlaku ...”

Dua gol pada lewat permainan yang dihasilkan Kim Young-gwon dan Son Heung-min di Kazan membuktikan kata-kata pengendali mereka.

Media Korea Selatan menyifatkan kemenangan mereka ke atas skuad nombor satu dunia itu sebagai “Keajaiban Kazan’.

Akhbar Kookmin Ilbo berkata, Korea Selatan tidak ubah seperti mangsa yang berubah menjadi pemangsa.

“Sepanjang 88 tahun sejarah Piala Dunia, Jerman sering menjadi wira,” lapor akhbar harian berkenaan. “Tetapi skuad Jerman di Piala Dunia 2018 di Russia terpaksa melutut di depan Korea.”

Akhbar sukan The Herald Business melaporkan: “Air mata gergasi Jerman gagal ditahan selepas 99 minit berjuang,” manakala akhbar Yonhap News berkata: “Selepas kekalahan di Piala Dunia 1994 dan 2002, Korea Selatan akhirnya berjaya menghalang kemaraan kereta kebal Jerman.”

Persatuan Bolasepak Korea berkata: “Semangat juang skuad kebangsaan yang tidak pernah menyerah kalah memberi inspirasi kepada seluruh warga Korea.”

Bekas penyerang Korea Selatan, Ahn Jung-hwan yang menjaringkan gol ketika menyingkirkan Itali di kelompok 16 terakhir edisi 2002 berkata, keputusan perlawanan itu membuktikan bahawa bukan mudah untuk menjangkakan hasil setiap perlawanan.

“Inilah bola sepak,” kata Ahn yang kini bertugas sebagai pengulas televisyen Korea di Piala Dunia.

“Sukan yang mempunyai paling banyak perubahan tanpa boleh dijangka ialah bola sepak.”

Korea Selatan perlu menang sekurang-kurangnya dua gol untuk layak selaku naib juara Kumpulan F tetapi kemenangan mengejut 3-0 Sweden ke atas Mexico bermakna mereka dan Jerman gagal melangkah ke pusingan kedua.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 1:11pm
d