arena

Loew 'makan dalam'

Oleh AFP

KAZAN: Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata, beliau kecewa melihat skuad juara bertahan itu tersingkir daripada Piala Dunia tetapi mengaku mereka sememangnya layak disingkirkan selepas tewas 0-2 di tangan Korea Selatan, awal pagi tadi.

Juara dunia empat kali berkenaan perlu menewaskan pasukan kerdil Asia itu dengan kelebihan dua gol dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Kazan untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Namun, selepas mempersia-siakan banyak peluang menjaringkan gol, Jerman dikejutkan dalam tempoh lima minit tambahan masa ketika Korea Selatan menjaringkan dua gol untuk mencipta kemenangan bersejarah ke atas pasukan ranking pertama dunia dan menyingkirkan Jerman ke kedudukan terbawah kumpulan.

Ini adalah kali pertama Jerman gagal ke pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 1938.

“Saya terkejut kerana kami tidak berjaya menewaskan Korea Selatan dan layak,” kata Loew yang berkata beliau perlu menanti “beberapa jam” sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya.

“Kekecewaan kerana kami tersingkir amat besar,” kata Loew.

“Kami tidak berhak menang dan meraih gelaran itu sekali lagi, kami tidak berhak ke kelompok 16 pasukan terakhir. Kami cuba sedaya upaya untuk menang, tetapi kami tidak dapat mendahului.”

Jerman adalah juara bertahan keenam gagal melepasi halangan pertama dan kemusnahan mereka tiba empat tahun selepas juara bertahan, Sepanyol juga gagal melepasi peringkat kumpulan di Brazil.

Skuad kendalian Loew memulakan kempen dengan kekalahan 0-1 di tangan Mexico sebelum kembali mencipta kemenangan minit terakhir 2-1 mengatasi Sweden.

Sweden menjuarai kumpulan selepas menewaskan Mexico 3-0.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 1:20pm
d