arena

Siapa juara Kumpulan G?

Oleh AFP

MOSCOW: England dan Belgium akan turun bertarung bagi menentukan siapa juara Kumpulan G, awal pagi esok tatkala juara bertahan Jerman tersingkir awal daripada Piala Dunia 2018.

Kedua-dua pasukan - dipenuhi pemain berbakat Liga Perdana Inggeris (EPL) - sudah menempah slot ke peringkat kalah mati selepas masing-masing mencatat dua kemenangan.

Pertarungan dinantikan di Kaliningrad hadir sehari selepas penyingkiran mengejut skuad kendalian Joachim Loew, yang menutup kempen kumpulan di tangga terbawah selepas mengalami kekalahan kedua, kali ini 2-0 kepada Korea Selatan.

Loew yang membawa Die Mannschaft mencapai kejayaan di Piala Dunia 2014 Brazil, bagaimanapun mengelak untuk bercakap mengenai masa depannya sebaik berakhir pertemuan semalam.

Malah, Jerman muncul satu-satunya pasukan gergasi gagal mara ke pusingan 16 terakhir kali ini selepas Argentina berupaya menyelamatkan diri daripada tersingkir awal hasil jaringan lewat Marcos Rojo.

Pada masa sama ada pandangan mengatakan England akan menghadapi laluan lebih mudah sekiranya mereka tewas dalam aksi di Kaliningrad, awal pagi esok.

Namun, pengendali Three Lions, Gareth Southgate berkata pasukannya hanya akan mencari kemenangan, tanpa mahu merancang laluan peringkat kalah mati.

“Kami perlu terus mengekalkan rentak kemenangan kerana ingin memastikan mentaliti setiap pemain berada di tahap terbaik,” katanya.

“Kami tidak pernah memenangi perlawanan peringkat kalah mati sejak 2006. Jadi mengapa perlu kami merancang venue separuh akhir mana yang ingin kami tuju.”

England bermula cemerlang dalam dua aksi sulung Piala Dunia apabila menewaskan Tunisia 2-1 dan membelasah Panama 6-1.

Tetapi, dengan Belgium mereka berdepan pasukan ranking ketiga dunia dan juga dilimpahi pemain paling berbakat dunia seperti Eden Hazard dan Kevin De Bruyne.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 1:47pm
d