arena

Colombia selamatkan Samurai Blue

Oleh Reuters

SAMARA, Russia: Jaringan tunggal Yerry Mina membolehkan Colombia meraih kemenangan 1-0 ke atas Senegal sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir selaku juara Kumpulan H.

Senegal pasti kecewa apabila dinafikan menerusi undang-undang ‘fair play’ meskipun terikat empat mata dengan Jepun yang tunduk 0-1 di tangan Poland pada satu lagi aksi terakhir kumpulan di Volgograd.

Terikat empat mata dan memiliki perbezaan jaringan dan gol yang sama banyak, rekod disiplin nyata menjadi pemisah untuk tempat naib juara yang menyaksikan Jepun layak sebagai naib juara apabila mengutip kad kuning yang lebih kurang berbanding wakil Afrika itu.

Selepas aksi sengit sepanjang 74 minit, Mina meledak gol penting menerusi tandukan susulan sepakan sudut untuk menceriakan penyokong Colombia yang menyaksikan perlawanan di Arena Samara.

Senegal yang beraksi lebih baik pada separuh masa pertama berasakan mereka patut dihadiahkan sepakan penalti apabila Sadio Mane dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-17.

Namun menerusi pengadil bantuan video (VAR), pertahanan Colombia, Davinson Sanchez dilihat sudah menyentuh bola sekali gus keputusan penalti dibatalkan.

Colombia akan bertemu naib juara Kumpulan G sama ada England atau Belgium.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 12:20am
d