arena

Uruguay-Portugal sama hebat

Oleh Reuters

MOSCOW: Pragmatik, sukar ditewaskan, diterajui penyerang berbisa dan diketuai veteran penuh semangat juang adalah antara karakter yang boleh didapati dalam pasukan menjelang pertembungan Uruguay dan Portugal pada aksi 16 terbaik Piala Dunia, Sabtu ini.

Perlawanan itu nanti mungkin tidak menghidangkan banyak jaringan tetapi tetap menjanjikan pertembungan mendebarkan antara dua pasukan yang masing-masing boleh dikatakan kekuatan sama rata, sama hebat.

Pasukan dari Amerika Selatan itu yang memenangi ketiga-tiga perlawanan pusingan pertama untuk mengungguli saingan peringkat kumpulan dan setakat ini mempamerkan prestasi mengagumkan dan muncul satu-satunya pasukan yang belum dibolosi di Russia.

Portugal dalam pada itu, memperoleh dua keputusan seri dengan Sepanyol dan Iran manakala mencatat satu kemenangan ke atas Maghribi yang bagi jurulatihnya, Fernando Santos sama sekali tidak menggusarkannya.

Santos, 63, membuat kemunculan kedua di Piala Dunia selepas membantu Greece mara ke pusingan 16 terbaik, empat tahun lalu.

Bekas jurutera elektrikal itu juga pernah mengendali tiga pasukan utama Portugal selain bersama kelab bola sepak Greece dan kemuncak pencapaiannya adalah membantu Portugal muncul juara Kejuaraan Eropah, dua tahun lalu.

Rakan sejawatannya yang mengendali Uruguay, Oscar Tabarez yang pernah berkhidmat sebagai guru sekolah sebelum ini, membuat kemunculan ketiga di Piala Dunia.

Seperti Santos, 71, turut pernah melakar gelaran benua - Copa Amerika - pada tahun 2011.

Kedua-dua pasukan diperkuatkan lagi dengan penyerang berbisa dan antara yang dimiliki Portugal adalah Cristiano Ronaldo yang setakat ini sudah meledak 85 gol dalam 153 penampilan bersama Portugal.

Uruguay dalam pada itu juga mempunyai Luis Suarez yang sudah meledak 53 gol daripada 101 perlawanan namun dihimpit kontroversi termasuk digantung sembilan perlawanan antarabangsa selepas menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini, pada temasya Piala Dunia empat tahun lalu.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 1:33am
d