arena

'Kami sudah beri yang terbaik'

Oleh Reuters

VOLGOGRAD, Russia: Jurulatih Poland, Adam Nawalka menyatakan pasukannya perlu menewaskan Jepun pada perlawanan terakhir Piala Dunia malam tadi untuk membuktikan mereka tidak mudah berputus asa dan sedikit sebanyak menggembirakan penyokong mereka selepas kempen hambar di Russia.

Jaringan pertahanan tengah Jan Bednarek selepas sejam membantu Poland meraih kemenangan pertama pada pusingan akhir Piala Dunia sejak mereka menundukkan Costa Rica di Hanover pada 2006, satu lagi kumpulan sukar buat Poland.

Ketika Jepun meloloskan diri ke pusingan kalah mati di sebalik kekalahan itu, Poland sudah terkeluar daripada saingan ke pusingan 16 terakhir selepas kecundang dua aksi pertama mereka.

“Selepas dua aksi pertama menentang Senegal dan Colombia, pasukan kami terpaksa menangani banyak kritikan jadi jelas tahap emosi bagi perlawanan ini terlalu tinggi buat pasukan Poland,” kata jurulatih Nawalka pada sidang akhbar.

“Perlawanan ketiga ini menjadi amat penting untuk mengesahkan pasukan Poland berjuang hingga ke saat akhir dan boleh mencetus keceriaan buat rakyat Poland.”

Di sebalik kempen mengecewakan buat pasukan yang layak ke suku akhir Euro 2016 dan mudah melayakkan diri ke Russia, Nawalka berkata, beliau tidak memikirkan kedudukannya.

“Terpulang kepada FA Poland dan saya akan membuat laporan lengkap mengenai Piala Dunia,” katanya.

“Ketika ini, inilah yang paling penting dan saya tidak mahu membuat pengisytiharan sekarang.”

Nawalka tidak berasakan Piala Dunia membazirkan masa buat Poland dan pengalaman dilalui pemain muda dalam skuad itu akan membantu mereka pada masa depan.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 4:40am
d