arena

Zaquan dinasihati korban skuad kebangsaan

Oleh Rodly Fadly

PENGENDALI Kuala Lumpur, Fabio Maciel menasihati Zaquan Adha Abd Radzak agar mengorbankan tugasan bersama skuad kebangsaan yang bakal menentang Fiji dalam aksi persahabatan 5 Julai ini demi memastikan kecederaan yang dialami pulih sepenuhnya.

Maciel berkata, beliau bimbang risiko kecederaan mungkin berulang jika Zaquan meneruskan hasrat untuk menyahut panggilan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sekali gus boleh menjejaskan peluangnya untuk menyarung jersi negara pada masa akan datang.

Malah, beliau yakin, selepas tiga minggu berehat akibat retak tulang tangan kiri yang dialami ketika perlawanan menentang Melaka United pada 9 Jun lalu, Zaquan tidak berada pada tahap sebenar untuk terus bermain apatah lagi di peringkat antarabangsa.

“Panggilan untuk mewakili pasukan negara memang satu penghormatan kepada seorang pemain dan peluang itu tidak patut dilepaskan. Saya amat memahami perkara itu tapi masalahnya Zaquan belum pulih sepenuhnya.

“Saya difahamkan oleh doktor walaupun tulang yang patah itu sudah bercantum, namun ia masih ‘muda’ dan bila-bila masa boleh retak kembali jika tersalah langkah.

“Saya sendiri tidak berani mengambil risiko menurunkan Zaquan dalam beberapa perlawanan demi memastikan dia benar-benar pulih walaupun kami sangat memerlukan tenaganya.

“Saya yakin selepas berehat panjang, Zaquan tidak mampu memberi prestasi terbaik jika dia diturunkan dalam perlawanan menentang Fiji kelak. Lagipun ini hanya perlawanan persahabatan, masih ada beberapa perlawanan persahabatan yang boleh disertainya.

“Jadi, saya harap Zaquan pertimbangkan hasratnya untuk tetap mewakili skuad kebangsaan. Saya tidak berniat menghalang, cuma sekadar menasihati demi kariernya sendiri,” ujar Maciel.

Zaquan adalah antara 11 pemain daripada skuad pra-Piala Asia menentang Lubnan pada Mac lalu yang dikekalkan namun kecederaan yang belum pulih meletakkan pemain itu dalam situasi serba salah.

Menurut Zaquan, dia tetap akan melaporkan diri ke kem latihan pada Ahad ini namun akan menyerahkan kepada Cheng Hoe untuk membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menggugurkannya daripada skuad Harimau Malaya.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 10:07am
d