arena

Mini Cub Prix KBS cari bakat muda

Oleh Sukhairi Thani

 

KUALA LUMPUR: Arena pemotoran dua roda negara bakal lebih rancak dengan penganjuran Kejuaraan Mini Cub Prix KBS yang dijadual bermula September ini.

Kejuaraan sulung yang dicetuskan penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bakal mencungkil bakat peserta yang lahir pada tahun 2006 (12 tahun) untuk kategori Mini Cub Prix Junior KBS.

Mereka yang layak akan diberikan program biasiswa Mini Cub Prix Junior KBS dan satu pemilihan bakal berlangsung pada 8 Julai ini di MAEPS, Serdang - serentak dengan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM PETRONAS.

Hanya 100 peserta terawal yang membuat pendaftaran layak menyertai sesi pemilihan.

Pengarah Promosi Kejuaraan Cub Prix, Ron Hogg berkata, peserta perlu membuat pendaftaran awal kerana tempat adalah terhad manakala hanya 14 pelumba terbaik dari keseluruhan yang hadir menyertai sesi pemilihan akan tersenarai untuk menyertai perlumbaan sebenar yang akan bermula, September ini.

Peserta yang sudah mendaftar dan layak untuk menyertai sesi pemilihan hanya perlu membawa pakaian perlumbaan lengkap manakala motosikal perlumbaan akan disediakan pihak penganjur.

Bagi 14 peserta yang dipilih menyertai Kejuaraan Mini Cub Prix Junior KBS, yuran penyertaan berjumlah RM500 untuk satu musim (5 pusingan) dan 10 pelumba terbaik keseluruhan bakal menerima slot automatik ke siri perlumbaan satu pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia musim 2019.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut sila hubungi Jetlee (012-2999013) atau Reffy (017-2027737).

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 4:32pm
d