arena

Tiket percuma hadiah daripada Putin

Oleh Reuters

MOSCOW: Dua penyokong Argentina yang terlepas aksi Piala Dunia menentang Croatia susulan tersilap lokasi perlawanan diberikan tiket untuk perlawanan seterusnya membabitkan pasukan Amerika Selatan berkenaan menerusi arahan Presiden Russia, Vladimir Putin, menurut Kremlin hari ini.

Dua penyokong berkenaan terbang ke Russia untuk menyaksikan Argentina menentang Croatia minggu lalu di bandar Nizhny Novgorod, menurut laporan media Russia.

Namun tanpa disengajakan mereka ke bandar Veliky Novgorod, kira-kira 800 kilometer ke sebelah barat negara itu.

Selepas kesilapan mereka mendapat perhatian, mereka dihubungi pegawai daerah yang menyatakan Putin memberikan tiket untuk aksi menentang Nigeria di St Petersburg lima hari kemudian, yang menyaksikanArgentina menang 2-1, menurut laporan akhbar Komsomolskaya Pravda.

Ditanya agensi berita Interfax sama ada Putin mengarahkan penyokong Argentina itu diberikan tiket, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata: ” Ya ia benar.”

“Mereka memberitahu bahawa kami diberikan tiket untuk perlawanan di St Petersburg atas arahan Vladimir Putin,” menurut salah seorang penyokong itu.

“Apa yang berlaku ada hikmahnya. Pada perlawanan yang sepatutnya kami hadir, Argentina tewas 3-0 dan akhirnya kami berjaya menyaksikan perlawanan yang bersejarah.”

Bagaimanapun FIFA dan Persatuan Bola Sepak Argentina tidak memberikan reaksi balas ketika diminta mengulas mengenainya.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 1:25am
d