arena

Jangan harap Ronaldo sorang!

Oleh AFP

SOCHI, Russia: Cristiano Ronaldo tidak boleh menewaskan Uruguay seorang diri menjelang pertembungan memburu slot ke suku akhir Piala Dunia 2018, awal pagi esok.

Itu mesej disampaikan jurulatih Portugal, Fernando Santos ketika pasukannya bakal mengharungi aksi pusingan 16 terbaik di Sochi.

Ronaldo menjaringkan empat gol di Russia, tetapi Portugal membuktikan mereka mampu menang tanpa kelibat pemain terbaik dunia itu apabila menewaskan Perancis pada final Euro 2016, biarpun kehilangan penyerang Real Madrid itu akibat cedera.

“Kami perlu bermain sebagai satu pasukan. Jika hanya mengharapkan Ronaldo, kami akan kalah.

“Kami perlu menjadi kuat sebagai satu pasukan, kuat seperti Uruguay. Sukar untuk bermain seorang diri, biarpun dia menjaringkan tiga gol, tetapi dia ada rakan pasukan yang membantunya.

“Tonggak pertahanan mereka (Uruguay) bermain dengan Atletico Madrid yang memenangi Liga Europa. Di bahagian tengah, mereka ada pemain yang beraksi bersama Juventus dan Inter Milan.

“Penyerang mereka bermain untuk Paris Saint Germain (PSG) dan Barcelona. Jadi, saya harap pasukan saya menjadi kuat seperti Uruguay dan dengan itu Ronaldo mampu membawa perubahan,” kata Santos.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 10:17am
d