arena

Gendang Manolo 'gegar' Russia

Oleh Reuters

KRASNODAR, Russia: Penyokong tegar Sepanyol, Manolo Caceres melakukan pengorbanan besar untuk menyokong negaranya dengan memukul gendang besar namun selepas mengikuti pasukannya dalam 10 edisi Piala Dunia, dia mengakui langsung tidak menyesali apa yang dilakukannya.

“Saya memberikan segala-galanya untuk bola sepak - perniagaan saya dan segalanya - tapi saya masih hidup.

“Saya gembira dan saya dapat mengikuti Sepanyol ke mana sahaja. Apa lagi yang boleh saya minta?” katanya.

“Saya disayangi semua orang. Wang bukanlah segala-galanya. Saya lebih suka memilih untuk disayangi berbanding memiliki banyak wang.

“Ia lebih berbaloi. Saya akan terus melakukannya walaupun mereka mengkritik dan mengatakan saya gila.”

Caceres yang dikenali sebagai Manolo El del Bombo (lelaki dengan gendang) dikenali serta-merta menerusi alat muzik besar yang dibawa bersama sejak kali pertama menyaksikan skuad La Roja beraksi di Cyprus pada 1979.

Peraturan melarang dia daripada memukul gendang besarnya pada aksi membabitkan Sepanyol di Piala Dunia kali ini.

Namun selepas Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) menyelesaikan masalah itu dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), difahamkan dia diberi kebenaran untuk membawa masuk gendang itu ke dalam Stadium Luzhniki ketika Sepanyol bertemu Russia, malam ini.

“Russia sebuah negara yang hebat walaupun mereka tidak membenarkan saya membawa gendang ke dalam stadium.

“Jika mereka membenarkan saya membawa masuk gendang, sudah tentu ia akan menjadi detik yang lebih indah untuk saya di Russia.”

RFEF nyata menyokong penuh Manolo yang menyaksikan persatuan itu membayar tiket penerbangan dan penginapan setiap kali dia mengikuti pasukan itu beraksi.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 4:22am
d