arena

'Messi sudah beri yang terbaik...'

Oleh Reuters

KAZAN, Russia: Walaupun menggunakan pelbagai pendekatan, jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mengakui gagal untuk menonjolkan persembahan terbaik bintangnya, Lionel Messi yang memburu kegemilangan Piala Dunia buat kali terakhir apabila tewas kepada Perancis pada pusingan 16 terakhir.

Beraksi sebagai penyerang tengah, Messi mengharungi satu lagi perlawanan yang mengecewakan di Arena Kazan dengan Argentina tersingkir pada pusingan kedua susulan kekalahan 3-4.

“Kami mempunyai pemain terbaik di dunia dan cuba memanfaatkan sepenuhnya pemain itu yang mampu mencipta beberapa peluang menarik,” kata Sampaoli.

“Kami mencuba beberapa taktik berbeza, mengutamakannya, mencipta peluang untuknya... kami cuba menggunakan semua yang termampu untuk membolehkan dia menyerlahkan kemampuannya.

“Kadangkala kami berjaya, kadangkala tidak.”

Sentuhan Messi berjaya mencipta gol kedua untuk Gabriel Mercado membolehkan pasukan Amerika Selatan itu mendahului sebaik babak kedua bersambung.

Namun penyerang Barcelona itu dirantai N’Golo Kante dan Blaise Matuidi, serta tidak mampu menyerlah selepas Mbappe meledak dua gol dalam tempoh empat minit setengah.

Sampaoli berkata, pemainnya kekurangan “idea yang jelas” apa yang mahu mereka lakukan namun beliau menolak untuk mengambil tanggungjawab kekalahan di Piala Dunia.

“Semuanya masih terlalu awal. Selepas ini kami akan menganalisis kesilapan yang dilakukan,” katanya yang masih belum memutuskan mengenai masa depannya.

“Saya pasti ada kesilapan berlaku namun masih terlalu awal mengatakannya. Kami tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya tidak suka dengan kegagalan namun ia amat mengecewakan. Setiap sesi latihan saya cuba membentuk identiti untuk pasukan.

“Saya sentiasa percaya Argentina mampu menang, jadi sudah pasti saya kecewa namun ia akan membuatkan saya lebih kuat sebagai jurulatih untuk belajar dan maju ke hadapan.”

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 4:59am
d