arena

Drop Shot: Sampai bila nak harapkan Chong Wei?

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Saya sering tegaskan setiap pemain negara perlu memanfatkan peluang apabila beraksi di halaman sendiri seperti di Terbuka Malaysia yang berlangsung ketika ini.

Ini kerana jarang sekali untuk mereka memperoleh peluang seperti ini lebih-lebih lagi dengan sokongan padu penyokong yang memenuhi stadium.

Namun, Terbuka Malaysia kali ini mencatat cerita yang sama. Hanya Datuk Lee Chong Wei mampu mara jauh sedangkan yang lain tersungkur lebih awal.

Paling mengecewakan adalah beregu campuran negara. Kita mempunyai tiga wakil kali ini namun ketiga-tiganya tersingkir awal.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga mengecewakan apabila tersingkir straight set di suku akhir kepada gandingan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, kelmarin.

Nampaknya tidak banyak perubahan membabitkan mereka berdua ini kerana keputusan pada setiap kejohanan disertai hampir sama saja.

Saya fikir sudah tiba masanya untuk soalan terus diajukan kepada mereka sama ada mahu terus bergandingan atau sebaliknya.

Sebab sebagai pemain yang diletakkan di bawah Program Podium, tidak adil kepada atlet lain di bawah program sama sekiranya mereka berdua ini terus gagal mempamerkan peningkatan.

Sebelum ini usaha untuk menggandingkan mereka berdua juga adalah atas keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jadi kali ini biarlah mereka berdua menentukan apakah hala tuju yang dimahukan.

Kredit pula harus diberikan kepada pemain perseorangan negara, Goh Jin Wei yang mara sehingga ke suku akhir sebelum ditunjuk jalan keluar oleh pilihan pertama dari Taiwan, Tai Tzu Ying.

Sekurang-kurangnya ada usaha tinggi ditunjukkan Jin Wei untuk memperbaiki dirinya.

Namun berbalik kepada isu asal, sampai bilakah kita harus mengharap kepada seorang bernama Chong Wei untuk menyinar di halaman sendiri?

Jumpa lagi.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 5:56am
d