arena

Ronaldo kunci mulut

Oleh AFP

CRISTIANO Cristiano Ronaldo enggan memberi komen mengenai masa depan antarabangsanya awal pagi tadi selepas Portugal tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas 2-1 di tangan Uruguay.

Bintang Real Madrid itu tersingkir daripada Piala Dunia keempat dengan kekecewaan apabila dua jaringan Edinson Cavani menyaksikan Uruguay mara ke kelompok lapan terakhir.

Ronaldo yang akan berusia 37 tahun pada Piala Dunia seterusnya, tidak mahu mengulas lanjut sama ada dia merancang untuk melanjutkan karier antarabangsanya.

“Kini bukan masa untuk bercakap mengenai masa depan pemain dan jurulatih,” kara Ronaldo.

Pemain berusia 33 tahun itu bagaimanapun berkata juara Eropah, Portugal boleh melihat masa depan dengan keyakinan.

“Kami memiliki kumpulan pemain yang menakjubkan, muda dan bercita-cita besar dan kerana itu saya rasa pasukan ini akan kekal kuat,” katanya.

Ronaldo menamatkan kempen Piala Dunia dengan empat gol, satu kurang berbanding pemain England, Harry Kane yang mendahului dengan lima gol.

Sebelum itu jurulatih Portugal, Fernando Santos berharap Ronaldo akan kekal sebagai sebahagian daripada pemain antarabangsa.

“Masih banyak boleh diberikan Cristiano kepada bola sepak dan saya harap dia akan kekal dan membantu pembangunan pemain muda,” katanya. 

“Kami ada ramai pemain muda dan sudah tentu kami semua mahukan dia berada di sana dengan kami,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 11:29am
d