arena

Sepanyol mungkin hilang khidmat Pique

Oleh Agensi

GERARD Pique berisiko untuk terlepas perlawanan pusingan kedua bertemu Russia di Stadium Luzhniki, hari ini selepas cedera ketika bertembung dengan penjaga gol, Pepe Reina.

Pertahanan Barcelona berusia 31 tahun itu dilihat terpaksa menerima rawatan ketika pertengahan sesi latihan pasukan menjelang pusingan kalah mati Piala Dunia.

Media Sepanyol dipetik melaporkan Pique yang sudah beraksi 270 minit bersama Sepanyol di Piala Dunia bertembung dengan Reina sehingga menyebabkan kecederaan pergelangan kaki.

Dia terpaksa menerima rawatan dan kemudian kembali semula menyertai sesi latihan.

Bagaimanapun dia perlu membuktikan dapat cergas sepenuhnya sebelum turun pada perlawanan, hari ini.

Jurulatih, Fernando Hierro bagaimanapun enggan memberi komen mengenai situasi Pique.

Beliau hanya mengesahkan penjaga gol, David de Gea akan diturunkan, sementara Koke dan Diego Costa dijangka berada dalam kesebelasan utama.

Cesar Azpilicueta dan Nacho Fernandez akan berada dalam keadaan bersedia sekiraya Pique gagal cergas sepenuhnya.

Sepanyol berpotensi bertemu England sekiranya kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir, namun kedua-dua pasukan perlu mengatasi lawan di saingan suku akhir terlebih dahulu.

England akan bertemu Colombia pada pusingan kedua awal pagi Rabu dan kemudian perlu menewaskan sama ada Sweden atau Switzerland sekiranya mara ke suku akhir.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 12:31pm
d