arena

Jin Wei akui jurang terlalu besar

Oleh Helmi Talkah

BINTANG muda negara, Goh Jin Wei mengakui jurang masih terlalu besar antara dia dengan pemain badminton utama dunia dan akan terus bekerja keras bagi meningkatkan tahap prestasinya.

Pemain perseorangan wanita negara itu mendapat pengalaman berharga pada saingan Terbuka Malaysia biarpun tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying.

Sebelum itu, pemain ranking ke-32 dunia berkenaan cemerlang apabila mengejutkan pilihan ketujuh kejohanan, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan ketika aksi pusingan kedua.

"Ia pengalaman berharga untuk saya apabila dapat bertemu dengan dua pemain utama dunia dalam kejohanan ini.

“Saya sentiasa teruja setiap kali mendapat peluang menentang pemain utama dunia kerana ia membolehkan saya menguji kemampuan diri sendiri dan terus belajar.

"Perkara paling penting saya belajar adalah daripada aspek kepantasan. Pemain utama dunia semuanya memiliki kepantasan dan saya perlu cepat mengatasi masalah ini untuk terus bersaing pada masa depan.

"Saya akan terus bekerja keras dan sekurang-kurangnya saya tahu apa yang saya perlu lakukan," kata Jin Wei yang tetap bangga dengan pencapaiannya kali ini.

Dia berjaya mara buat kali pertama ke suku akhir kejohanan bertaraf Siri Super atau kini dikenali Tahap 2 Jelajah Dunia BWF Super 750.

Jin Wei berkata, dia kini sudah tidak mempunyai perasaan gentar sekiranya bertemu pemain utama dunia yang lain.

"Saya sudah tidak rasa takut lagi, apa paling penting saya perlu tunjuk permainan sebenar saya dan selepas itu hasilnya kita akan dapat lihat," kata Jin Wei yang berusia 18 tahun.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 12:44pm
d