arena

KAFA yakin TRW kekal Liga Super

Oleh Attirmidzie Rahman

 

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) percaya kedudukan pasukan Kelantan mampu diperbaiki sekali gus menyalakan kembali peluang untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan biarpun bergelut dengan masalah prestasi ketika ini.

Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pasukan itu masih mempunyai baki lima perlawanan yang perlu dimanfaatkan bagi melengkapkan misi terbabit.

"Sudah tentu ia sasaran utama pasukan ketika ini dan bagi memastikan Kelantan kekal bersaing di Liga Super, lima lagi aksi perlawanan selepas ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pasukan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di Kota Bharu, hari ini.

"Bagaimanapun kita tetap mengakui beberapa keputusan perlawanan lalu tidak memihak menyebabkan kini pasukan berada di situasi membimbangkan.

"Setakat ini seperti biasa proses persiapan dan persediaan rapi untuk perlawanan berbaki itu sedang dilakukan oleh barisan kejurulatihan dan kita harapkan masih ada peluang yang memihak untuk pasukan kekal beraksi di Liga Super."

Pada masa sama, Afandi turut memaklumkan pihaknya kini sudah memulakan proses pembentukan pasukan dengan menumpukan terhadap pemain yang bakal membarisi skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.

"Kini kita juga sedang fokus kepada mempersiapkan pasukan dengan lebih awal dan kita mengarahkan barisan kejurulatihan supaya menganalisa setiap pemain yang berpotensi bagi memperkuatkan jentera pasukan sekaligus menampilkan sebuah pasukan yang lebih baik.

"Pada musim ini kita akui agak terlambat untuk proses itu sehingga terpaksa menunggu perlawanan terakhir pada musim lalu ketika bertemu Melaka United yang menyebabkan pasukan kita musim ini tidak cukup mantap.

"Jadi untuk musim ini kita perlu lebih awal supaya pemain sedia ada serta pemain baharu yang bakal diserapkan menemui keserasian lebih awal sebelum aksi liga bermula," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 4:13pm
d