arena

Tangan berbalut benda kecil

Oleh Aziman Rosdi

KAPTEN Harimau Malaya Zaquan Adha Abd Radzak bersedia untuk beraksi dengan tangan kiri berbalut andai diberi kepercayaan oleh pengendali Tan Cheng Hoe bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Fiji di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Khamis ini.

Zaquan, 30, baru saja pulih daripada kecederaan retak tangan kiri yang dialami ketika menentang Melaka United pada 9 Jun lalu.

Biarpun sudah dibenarkan menjalani latihan, doktor menasihatkan supaya penyerang Kuala Lumpur itu memakai balutan sebagai perlindungan pada tangan kirinya.

“Sekarang saya dibenarkan berlatih. Ini untuk perlindungan kerana kecederaan pada tulang tangan dan tulang itu sudah bersambung cuma tak berapa kuat, jadi saya sudah mula berlatih. Untuk perlawanan terpulang kepada jurulatih sama ada beri saya bermain atau tidak,” kata Zaquan.

“Memang bangga wakili negara, kalau betul-betul saya rasa tak boleh baru saya cakap tak boleh. Sebelum ini saya sudah alami kecederaan lebih teruk dan saya rasa kecederaan ini sedikit saja.”

Khidmat pemain berpengalaman itu amat ditagih Cheng Hoe selepas dia cemerlang meledak hatrik ketika membantu Harimau Malaya membelasah Bhutan 7-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 April lalu.

Zaquan juga pernah patah jari tangan sehingga dia terpaksa diketepikan pada perlawanan menentang Fiji dalam jelajah Oceania dengan keputusan seri 1-1 pada 26 Jun 2016.

“Ketika itu saya dipanggil oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee, masa itu saya patah jari tangan tapi mereka (Fiji) pasukan bagus, kita tak boleh pandang rendah. Jika kita beri 100 peratus komitmen dalam perlawanan tak mustahil untuk kita capai kemenangan,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 9:52pm
d