arena

Pahang tempah slot final Piala FA

Oleh Azizan Hashim

PAHANG menepati ramalan untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA apabila mengatasi PKNP FC 2-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Perak, sebentar tadi.

Jaringan pada setiap babak oleh Augustine Amathu pada minit ke-32 dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-75 mencukupi buat skuad Tok Gajah menempah tempat ke final bertemu Selangor pada 7 Julai ini.

Begitupun kemenangan tidak dicapai dengan mudah oleh anak buah Dollah Salleh yang terpaksa mengerah segala keringat untuk mara dengan agregat 3-2.

Tuan rumah terlebih dulu menghidu peluang pada minit ke-28 tetapi Hafiz Ramdan gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol Pahang.

Empat minit kemudian Pahang berada di hadapan hasil rembatan Amuthu dari luar kotak penalti yang melepasi jangkauan Asyraaf Omar.

PKNP cuba bangkit dengan serangan bertubi-tubi tetapi gagal menyudahkan tiga peluang keemasan.

Dalam keghairahan anak buah Abu Bakar Fadzim menyerang, Norshahrul menghulum mereka dengan melencongkan bola dari sebelah kanan menggegar gawang.

PKNP tidak menyerah kalah dan terus mengasak ke kubu lawan sekali gus berhasil merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Franklin Anzite pada minit ke-81.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 1:24am
d