arena

'Jangan salahkan Ozil...'

Oleh AFP

BERLIN: Jerome Boateng mengakui Mesut Ozil tidak sepatutnya dijadikan sebagai kambing hitam selepas Jerman tersingkir daripada Piala Dunia apabila pemain tengah Arsenal itu dikritik teruk sebaik saja mereka terkandas pada peringkat kumpulan.

“Ia tidak sepatutnya sebegitu, Mesut juga manusia biasa dan anda tidak boleh melemparkan kritikan terhadap seorang individu, seluruh pasukan harus bertanggungjawab,” kata Boateng kepada akhbar harian Jerman, Welt semalam.

Ozil dikecam oleh penyokong Jerman di laman sosial berikutan aksi buruknya di peringkat kumpulan ketika mereka kalah kepada Mexico dan Korea Selatan.

Boateng berkata, seluruh pasukan Jerman harus dipersalahkan berikutan aksi buruk di Russia, bukan saja Ozil atau ketua jurulatih, Joachim Loew, yang masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Semuanya berpunca daripada kami sebagai pemain. Kami berada di tengah padang dan jurulatih sudah memberi arahan jelas, yang mana kami tidak mengikutinya.

“Banyak kekurangan, keupayaan, semangat, keyakinan. Kami seakan lumpuh. Kami banyak melakukan kesilapan,” kata Boateng.

Ia kali pertama sejak 1938, Jerman gagal melepasi pusingan pertama Piala Dunia dan Boateng mengakui sendiri, ia seakan kejutan buat semua.

Susulan kekalahan awal penyandang juara itu, bekas ketua pasukan, Lothar Matthaeus menghentam teruk Ozil dan menganggap pemain itu tidak lagi sesuai untuk menyarung jersi Jerman.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 5:15am
d