arena

'Ingat sikit Griezmann'

Oleh Reuters

NIZHNY NOVGOROD, Russia: Pemain Uruguay menggesa penyerang Perancis, Antoine Griezmann supaya mengingati hubungan rapat dan kasih sayangnya terhadap negara itu menjelang aksi suku akhir Piala Dunia membabitkan dua pasukan itu.

Griezmann beraksi bersama pertahanan Uruguay, Jose Gimenez dan Diego Godin di Atletico Madrid yang menyaksikan Griezman bertemu mereka di lapangan terbang dengan jersi Uruguay selepas pasukan itu mengesahkan tiket ke Russia selain turut menikmati teh ‘mate’ yang digemari rakyat Amerika Selatan.

“Griezmann seperti orang Uruguay dan dia percaya dia warga Uruguay. Baginya, perlawanan ini adalah aksi yang istimewa sama seperti kami,” kata pemain tengah, Nahitan Nandez.

“Apa yang saya mahu katakan adalah kami mengharapkan supaya dia berkelakuan baik di tengah padang dan ingat dia adalah ‘separuh Uruguay!”

Meskipun mara ke suku akhir, satu-satunya perkara yang menjadi kerisauan kepada pasukan itu adalah kecederaan betis yang dialami penggempurnya, Edinson Cavani yang kini bergelut untuk kembali cergas menjelang aksi Jumaat ini.

“Dia begitu gembira apabila kami layak ke suku akhir dan juga dengan persembahannya serta prestasi pasukan,” kata pemain tengah, Rodrigo Bentancur.

“Dia bekerja keras untuk pemulihannya hari ini. Jadi kami hanya perlu menunggu dia untuk kembali pulih.”

Pemain Uruguay mengakui skuad Les Bleus pasti liat apatah lagi mereka mengetepikan Argentina 4-3 dengan tumpuan terarah kepada Kylian Mbappe yang meledak dua gol pada perlawanan itu.

“Mereka begitu bagus dan kepantasan mereka amat menakjubkan. Kami perlu bertahan dengan lebih kemas,” kata Bentancur.

“Mereka memiliki pemain yang baik. Namun jika ada perkara yang kami boleh buat, kami akan cuba menjadikan perlawanan ini berpihak kepada kami,” kata Nandez.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 12:56am
d