arena

Sebab Zlatan tiadalah Sweden hebat!

Oleh AFP

ST PETERSBURG, Russia: Pengguguran Zlatan Ibrahimovic daripada skuad Piala Dunia membolehkan pemain lain menyerlah, kata kapten Sweden, Andreas Granqvist.

Sweden berdepan Switzerland pada pusingan 16 terbaik, malam esok dengan kemaraan mereka ke peringkat itu membuktikan betapa mereka mampu memberi saingan meskipun tanpa penggempur veteran itu.

Selepas menggungguli Kumpulan F dengan mengetepikan Mexico dan Jerman, mereka kini selangkah untuk ke suku akhir Piala Dunia sejak 1994 - ia dilakar tanpa bantuan Ibrahimovic.

“Semua pemain dapat melangkah lebih jauh selepas kami kehilangan seorang pemain terbaik dunia,” kata Granqvist.

“Sejak Janne Anderson mengambil alih pasukan, kami dapat membina asas yang baharu. Sejak dua tahun lalu sepanjang peringkat kelayakan, kami sentiasa berjuang antara satu sama lain.

“Sebagai pasukan, kami sedar apabila kami sentiasa berjuang, kami mampu menjadi lebih kuat dan meraih keputusan positif.”

Sweden dianggap sebagai pasukan bukan pilihan pada peringkat kalah mati memandangkan kejayaan mereka berteraskan kerjasama sepasukan berbanding kualiti pemain bintang.

Namun ketika Jerman, Sepanyol, Portugal dan Argentina sudah tersingkir, kini Sweden berpeluang untuk melangkah lebih jauh.

“Sebahagian keputusan nampak menakjubkan dan ini membuktikan kadangkala, negara hebat dan besar tidak selalunya memenangi perlawanan,” kata Andersson.

“Bagi saya, situasi ini memberi inspirasi kepada kami.”

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 1:10am
d