arena

'Maafkan kami Schmeichel'

Oleh Reuters

SOCHI, Russia: Perancang tengah Denmark, Christian Erisken mengakui dia dan rakan sepasukan mengecewakan penjaga gol Kasper Schmeichel apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan mereka tewas 3-2 kepada Croatia dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 tamat masa tambahan.

Schmeichel menafikan penalti Luka Modric dalam masa tambahan dan menyelamatkan dua sepakan ketika penentuan penalti namun tiga rakan sepasukannya termasuk Eriksen yang tampil sebagai pemain pertama melakukan tendangan gagal menyempurnakannya sekali gus perjalanan Denmark di Piala Dunia berakhir di peringkat kelompok 16 terbaik.

“Kami mengecewakan Kasper, kami seharusnya menang apabila dia menyelamatkan dua sepakan penalti,” kata Eriksen ketika pasukannya bersedia meninggalkan Russia.

“Saya akan mengingati Piala Dunia ini kerana terlepas sepakan penalti. Banyak kali saya lihat sepakan itu, ia bukan mudah melupakannya,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali ke Denmark untuk bersama pasangannya, Sabrina dan anak lelakinya yang baru lahir, dan seperti setiap pemain Denmark yang lain, dia melihat masa depan yang cerah bagi skuad kebangsaan walaupun tersingkir.

“Semoga ia menguatkan kami semua. Kami membuktikan sehingga ke tahap ini. Kami perlu bangga dengan pencapaian ini, Denmark tidak melangkah ke pusingan kedua untuk tempoh 16 tahun,” katanya.

Pertahanan, Mathias Jorgensen antara beberapa pemain yang mahu ditemuramah wartawan selepas mendarat di Copenhagen dan disambut kira-kira 200 penyokong di Lapangan Terbang Kastrup.

“Pasukan ini akan bertambah baik dalam beberapa tahun akan datang, itu yang positif ketika ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 1:21am
d