arena

Boleh beli tiket di Kuantan, Temerloh

Oleh Asrol Awang

PENYOKONG Pahang boleh membeli tiket aksi final Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini dan Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, mulai jam 9 pagi esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Norlia Abdul Manaf berkata, sebanyak lapan kaunter, termasuk satu kaunter khas untuk wanita disediakan di Stadium Darul Makmur.

“Tiket untuk dewasa berharga RM50 setiap satu manakala kanak-kanak pula RM5 dan penyokong skuad Tok Gajah boleh membelinya di lapan kaunter yang disediakan.

“Kita membuka kaunter tiket di Temerloh bagi memudahkan penyokong sekitar daerah itu termasuk Jerantut, Maran dan Bentong mendapatkan,” katanya.

Bagaimanapun, PBNP tidak mendedahkan jumlah agihan tiket yang dijual di Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperuntukkan sebanyak 60,000 tiket dewasa dan 1,500 tiket kanak-kanak kepada Pahang dan Selangor.

Baki 18,000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak lagi akan dijual secara dalam talian melalui laman sesawang www.shopee.com.mydan www.tickethotline.com.my.

Aksi final itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 4:22pm
d