arena

'Saya lakukan demi penyokong Selangor'

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah enggan terburu-buru untuk melakukan rombakan dalam pucuk pimpinan badan induk itu.

Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor (RMS) secara rasmi dipilih sebagai Presiden FAS apabila menang tanpa bertanding dalam Kongres Luar Biasa persatuan itu yang berlangsung di sebuah hotel, hari ini.

RMS mendapat 81 pencalonan daripada 96 ahli gabungan FAS sekali gus menduduki kerusi nombor satu yang ditinggalkan Datuk Seri Subahan Kamal.

RMS ketika ditemui pemberita selepas kongres itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli gabungan dan penyokong yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengangkat kembali bola sepak Selangor ke tahap tertinggi.

“Saya lakukan ini semua untuk anda (penyokong Selangor) dan saya di sini kerana anda. Saya perlu tengok apa yang perlu dibuat," kata RMS.

"Saya akan lihat apa yang perlu dilakukan, utamakan apa yang perlu terutama membabitkan jurulatih dan pengurusan untuk membawa Selangor ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mahu ambil masa dahulu dengan menyesuaikan diri dalam FAS sebelum memutuskan apa-apa (perubahan pucuk pimpinan) dan bincang semua perkara itu dalam Mesyuarat Exco FAS akan datang."

Dalam pada itu, RMS meletakkan harapan tinggi buat skuad Red Giants untuk membawa kembali Piala FA ke bumi Selangor selepas sembilan tahun dengan mengalahkan Pahang pada final di Stadium Nasional Bukit, Sabtu ini.

“Saya sudah lihat permainan Selangor sebelum ini dan saya mendoakan mereka dapat menjuarai Piala FA," katanya.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA adalah pada 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 7:18pm
d