arena

Belgium, Brazil 'perlawanan impian': Martinez

Oleh Reuters

MOSCOW: Brazil muncul selaku pasukan pilihan tatkala jurulatih Belgium, Roberto Martinez menggambarkan aksi antara dua pasukan itu di suku akhir Piala Dunia di Kazan, Russia Sabtu ini sebagai ‘perlawanan impian’ buat pemainnya.

“Kedua-dua pasukan dibina untuk menjaringkan gol dan memenangi permainan. Menentang Brazil, ia tidak akan berkisar mengenai posisi bola tetapi apakah yang kamu akan lakukan. Ini semua adalah sebenarnya Piala Dunia,” kata pengendali dari Sepanyol itu kepada media Belgium.

“Kami tahu kemampuan pasukan tetapi Brazil menjadi pilihan utama dan meletakkan kami dalam satu peranan berbeza,” tambahnya.

“Namun, ia satu perlawanan impian buat pemain, mereka lahir untuk bermain dalam perlawanan seperti ini. Jujurnya, kami mahukan kemenangan tetapi kami tidak mahu terlalu meletak jangkaan dan ia satu perbezaan yang penting.”

Martinez menyaksikan pasukan kendaliannya hampir tersingkir sebelum bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas Jepun pada pusingan 16 terbaik sekali gus menempah tempat untuk bertemu juara lima kali Piala Dunia, Brazil.

“Menentang pasukan seperti Brazil, kamu perlu menyerang dan bertahan dengan 11 pemain. Kami tidak bercakap mengenai sistem tetapi memahami apakah yang perlu dilakukan apabila kami memiliki ruang,” kata Martinez.

“Saya tidak fikir ia akan menjadi perlawanan yang penuh rahsia. Kami perlu bertahan sebaik mungkin dan kemudian mengecewakan mereka apabila memiliki bola. Ia mungkin dilihat mudah tetapi pasukan sudah bersedia.”

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 5:32pm
d