arena

Tiket final macam tiada sambutan...

Oleh Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Pekarangan Stadium Shah Alam di sini, lengang apabila hanya beberapa penyokong bola sepak yang hadir untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA antara Selangor menentang Pahang, Sabtu ini.

Mereka juga kelihatan tertanya-tanya sesama sendiri sama ada kaunter jualan tiket perlawanan itu dibuka pada hari ini, selepas tiada orang yang beratur panjang di kaunter jualan tiket seperti kebiasaan.

Seorang penyokong Selangor, Abd Hamid Ahmad, 42, yang datang kira-kira jam 9.30 pagi terkejut kerana keadaan tidak seperti dijangkakan.

"Setiap kali perlawanan akhir membabitkan Selangor, saya akan beli banyak keping tiket dan saya akan beratur banyak kali untuk dapatkan tiket. 

"Kadang-kadang saya akan bawa anak saya dan beratur bersama-sama beli tiket. Dahulu seorang dihadkan hanya lima keping tiket, tetapi tahun ini saya dapat beli banyak sebab orang tidak ramai.

"Saya beli 60 tiket dewasa dan lapan tiket kanak-kanak untuk ahli keluarga saya dan kawan-kawan. Alhamdulillah tidak perlu beratur banyak kali pada tahun ini. Ini kali pertama saya tengok jualan tiket Piala FA suram.

"Mungkin faktor sedang berlangsung Piala Dunia menyebabkan keghairahan peminat tempatan untuk menonton perlawanan Piala FA hilang," katanya ketika ditemui pemberita.  

Abd Hamid berkata, dia turut membawa bekalan makanan untuk anaknya Muhammad Fikri, 18, serta rakan anaknya, Muhammad Fyzwan Ishak, 20, kerana bimbang perlu beratur panjang seperti pada tahun lalu.

Penjual tiket, Syed Muhazam Syed Abd Wadut, 39, berkata kebiasaannya kaunter jualan tiket perlawanan akhir akan dilanda 'tsunami' apabila orang-ramai berasak-asak untuk membeli tiket, namun sebaliknya berlaku pada tahun ini.

"Saya juga sudah bersedia berhadapan kerenah penyokong kerana pada tahun lalu saya dimarahi ramai penyokong yang tidak berpuas hati gagal membeli tiket.

"Kalau tahun lalu, selepas dua jam buka, tiket sudah habis dijual tetapi sehingga jam 12 tengah hari ini jualan tidak sampai 10 peratus dari 1,500 tiket yang diperuntukkan di setiap kaunter.”

Sementara itu, seorang peniaga minuman, Shahrul Aizat Zulkeple, 26, turut berkongsi situasi di luar jangkaan ini. 

"Tidak pernah tengok suasana macam ini, sebab biasanya Piala FA atau Piala Malaysia, jika berkaitan Selangor memang meriah. Namun pada kali ini suram, tiada apa-apa.

"Pada tahun lalu sebanyak 30 karton air tin habis dijual dan ia belum termasuk dengan jualan air mineral. Hari ini satu karton pun belum habis dijual sehingga jam 11 pagi," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 8:28pm
d