arena

Chong Wei mudah 'jinakkan' Ka Long

Oleh Ferzalfie Fauzi

DATUK Lee Chong Wei tidak menunjukkan erti penat selepas meraih kejuaraan Terbuka Malaysia minggu lalu, apabila memenangi pusingan pertama Terbuka Indonesia hari ini dengan mengalahkan Ng Ka Long dari Hong Kong.

 

Perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu menyaksikan Chong Wei selaku pilihan ketujuh berjaya menyerap tekanan dan tentangan sengit Ka Long walaupun beraksi dalam masa sejam untuk mencatat kemenangan 21-15, 18-21, 21-10.

 

Chong Wei yang sudah enam kali merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia, bakal berentap dengan wakil Denmark, Anders Antonsen di pusingan kedua esok, selepas pemain berusia 21 tahun itu mengalahkan Kenta Nishimoto (Jepun) 21-14, 25-23.

 

Ia juga bakal menyaksikan pertembungan sulung antara Chong Wei dan Antonsen.

Namun bekas pemain nombor satu dunia itu harus berhati-hati dengan semangat luar biasa pemain kelahiran Aarhus itu yang pernah menumpaskan Chen Long dan Viktor Axelsen tahun lalu.

 

Sementara itu, beregu lelaki nombor dua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut memulakan aksi dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas melakar kemenangan ke atas gandingan tuan rumah, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusof Santoso 21-18, 21-11.

 

Hanya tinggal Ee Yi-Yew Sin membawa cabaran beregu lelaki negara di Jakarta selepas gandingan nombor satu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama oleh pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. 

 

Ee Yi-Yew Sin bagaimanapun berdepan tugas sukar dalam misi merebut tempat ke suku akhir apabila menentang beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, esok. 

 

Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berkata, ia peluang baik buat anak buahnya untuk menguji kemampuan sebenar dan berharap mereka bermain tanpa sebarang tekanan biarpun sedar lawan adalah pilihan utama kejohanan selain dibantu sokongan padu penyokong tuan rumah. 

 

“Saya harap mereka dapat beri aksi terbaik, bermain seperti biasa tanpa perlu rasa takut dan tertekan.  

 

“Perlawanan hari ini, Ee Yi-Yew Sin bermain dengan baik dan mengawal perlawanan. Mereka lebih sabar dan berani mengambil risiko ketika melakukan serangan, itu sesuatu perkara yang positif ditunjukkan mereka, saya harap mereka boleh kekalkan momentum,” kata Paulus.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 11:42pm
d