arena

'Aku balik tengok anak sat...'

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG, Russia: Pemain tengah England, Fabian Delph kini dalam perjalanan pulang ke sini untuk perlawanan suku akhir Piala Dunia menentang Sweden Sabtu ini selepas pulang ke negaranya untuk menyambut kelahiran anak ketiga.

Delph mendapat sokongan pengurus England, Gareth Southgate berikutan keputusannya meninggalkan kem sebelum perlawanan 16 terakhir menentang Colombia yang berakhir dengan kemenangan menerusi sepakan penalti.

“Saya menikmati tempoh 24 jam yang paling menakjubkan,” kata Delph menerusi Instagram.

“Melihat rakan saya berjaya mengharungi perlawanan mencabar mental dan fizikal, saya dapat rasakan setiap tendangan bola dan emosi dengan pemain, kakitangan serta peminat.

“Pada jam 07.52  pagi saya, isteri dan dua anak perempuan  menyambut kelahiran adik perempuan mereka ke dunia ini.”

Berbeza dengan keputusan Delph, kapten Sweden Andreas Granqvist berkata dia sudah pasti akan tinggal di Russia untuk beraksi hujung minggu ini meskipun isterinya memasuki bilik bersalin.

“Saya merancang untuk terus berada di sini. Isteri saya seorang wanita yang sangat kuat dan kami sedar situasi yang bakal berlaku sebelum saya datang ke sini,” kata Granqvist selepas menang 1-0 dalam aksi 16  pasukan terakhir menentang Switzerland.

"Tiada apa yang berlaku setakat ini, bayi masih belum mahu keluar lagi. Kita lihat apa akan berlaku tetapi sudah pasti saya akan bermain.”

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 2:09am
d