arena

Pahang pilihan Abu Bakar

Oleh Rodly Fadly

KUALA LUMPUR: Pahang menjadi pilihan jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim untuk muncul juara Piala FA Sabtu ini kerana pasukan itu memiliki jentera serangan lebih ampuh berbanding lawannya, Selangor.

Menurut Abu Bakar, trio import Tok Gajah terdiri daripada Mohamadou Sumareh, Issey Nakajima dan Austin Amutu masing-masing mampu menjaringkan gol sedangkan The Red Giants lebih banyak mengharapkan Rufino Segovia.

Malah, jurulatih itu berkata pemain tempatan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nor Azam Azih dan Faisal Halim juga boleh memberi ancaman kepada Selangor.

“Kubu Selangor bakal berdepan dengan ‘peluru’ yang akan datang daripada pelbagai sudut sama ada tengah, kiri mahupun kanan. Ia sudah pasti sukar ditangkis pertahanan mereka.

“Situasi inilah yang kami hadapi ketika berdepan mereka pada separuh akhir. Kami cuba membendung tapi akhirnya tidak terdaya dan tewas,” kata Abu Bakar mengimbas kekalahan dengan agregat 2-3 kepada Pahang itu.

Abu Bakar berkata, Pahang turut memiliki kelebihan di bahagian tengah kerana Nor Azam dan Safuwan Baharuddin sangat efektif semasa mengatur serangan serta bertahan sedangkan Selangor bergantung kepada Amri Yahyah sahaja.

Jurulatih itu menjangkakan Dollah Salleh akan meletakkan seorang pemain untuk merantai Segovia bagi mengekang ancaman penyerang dari Sepanyol itu.

“Dia terbukti seorang penyerang yang hebat. Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa Segovia, Selangor tidak akan sampai ke tahap ini.

“Tapi, jika Pahang mampu merantai Segovia, Selangor akan berdepan masalah kerana mereka tidak mempunyai penyerang yang setara pemain itu.

“Atas faktor-faktor yang saya nyatakan, Pahang menjadi pilihan saya untuk muncul juara,” ujar Abu Bakar.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 12:58pm
d